Kecuali jika seseorang itu mengalami masalah mental, atau mempunyai
obsesi yang pelik-pelik, tiada manusia di dunia ini yang tidak menyukai
kecantikan.
Saya suka kepada kecantikan. Anda pun tentu suka. Malah kita pun
disunnahkan menjaga kecantikan, asalkan jangan sampai melampaui batas.
Tapi kadang-kadang saya keliru. Ada orang yang melihat kecantikan
sebagai segala-galanya. Mahu cantik, mahu bergaya, mahu nampak
menyerlah, biarlah banyak berbelanja, biarlah agama digadai.
Bukanlah kecantikan fizikal yang diutamakan, tapi kecantikan rohani.
Apalah gunanya wanita yang cantik, yang rupawan, tapi mendedahkan
aurat. Bentuk badannya diketahui ramai, rambutnya pula digayakan dengan
fesyen yang berbagai. Ditambah pula dengan gaya yang manja dan mesra
yang melampau, dia menayangkan ‘keindahan’ ini kepada lelaki yang haram
untuk melihatnya. Sesiapa yang memandang dengan sengaja akan
mengundang dosa. Kita khuatir si penayang auratlah yang akan paling
banyak menanggung dosa akibat perbuatan tersebut.
Semoga Allah memberikan hidayah dan keampunan kepadanya dan kita semua!
Sedangkan di sisi yang lain, mungkin ada wanita yang tidaklah cantik
pun. Tapi agamanya dipelihara seteguh-teguhnya. Quran dan Sunnah
dijunjung tinggi. Inilah wanita yang cantik sebenarnya. Sebagai seorang
muslim, saya tentu mahukan wanita seperti ini sebagai isteri. Begitu
juga lelaki muslim lain, harus berfikiran serupa, sebab inilah yang
dituntut agama kita dalam soal mencari bakal isteri. Inilah kecantikan
yang ditekankan Islam, malah ini adalah sejenis kecantikan yang boleh
dibina dan dibaiki. Sesiapa saja boleh memilikinya, dengan izin Allah,
soalnya nak atau tak nak sahaja. Ingat betul-betul sabda Rasulullah
s.a.w:
“Jika datang kepada kalian orang yang kalian redhai agama dan
akhlaknya, maka nikahilah dia. Sebab, jika kalian tidak melakukannya,
nescaya akan terjadi fitnah di atas bumi dan kerosakan yang luas” (At-Tirmizi, Ibnu Majah dan Al-Hakim. Al-Hakim mensahihkannya, disetujui oleh Az-Zhahabi. Lihat Sahihul-Jami’)
Pada masa yang sama, janganlah lupa, jika inginkan suami atau isteri
yang baik, diri sendiri harus diperbaiki terlebih dahulu. Jangan
sesekali berubah kerana berniat ingin mencari pasangan, tapi mestilah
ikhlas kerana Allah. Bila anda berubah kerana Allah, barulah anda bakal
ditemukan oleh Allah dengan jodoh yang baik-baik. InsyaAllah.
Jika anda mahu sangat isteri yang cantik, sedarlah bahawa
kecantikannya itu pasti akan hilang. Jika anda meletakkan kebahagiaan
kepada kecantikan fizikal semata-mata, tentu anda akan semakin kurang
bahagia apabila isteri anda semakin menua. Tapi jika anda meletakkan
kebahagiaan anda kepada keimanan dan ketaqwaan si isteri tersebut
kepada Allah, anda akan bahagia selama-lamanya. InsyaAllah.
Bukannya saya kata tidak boleh mencari isteri yang cantik. Maksud
saya di sini ialah kecantikan rohani jauh lebih utama berbanding
kecantikan jasmani.
Sedihnya, pada zaman ini, konsep Islami yang unggul tentang
kecantikan ini telah semakin pupus. Idea dan konsep tentang kecantikan
banyak dipengaruhi falsafah barat. Mereka perjuangkan kecantikan
fizikal dan materialistik. Wanita dilihat sebagai objek. Pada masa yang
sama, pemikiran kaum wanita diperdaya dengan konsep bahawa penyerlahan
tubuh badan wanita itu sebagai satu hak asasi dan simbol kemuliaan
wanita. Padahal ini konsep yang keliru dan karut.
Menurut Islam, wanita adalah kaum yang mulia, harus dilindungi dan
dipelihara baik-baik. Keindahan fizikal yang ada pada mereka bukanlah
untuk tayangan umum, tapi untuk suami-suami mereka. Sedangkan suami
berperanan menjaga kebajikan dan memenuhi keperluan isterinya dengan
sebaik-baiknya. Peranan wanita bukanlah sebagai hamba kepada kecantikan
duniawi, tapi sebagai khalifah Allah, selain peranan spesifiknya
sebagai ibu yang mendidik generasi baru umat Islam.
Bak berlian yang cantik, mengapa mahu ditunjuk-tunjukkan? Adakah kita
mahu ianya dicuri? Dirompak? Tentu tidak. Semoga Allah memberikan
hidayahNya kepada kita semua.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar